Menulis Merubah Segalanya

Pernahkah anda membaca sesuatu artikel dan tanpa anda sedari ianya membawa satu perubahan yang besar dalam hidup anda?

Saya baru sahaja terbaca satu ayat dari penulis kegemaran saya yang amat saya kagumi. Temubual pendek dengannya itu saya baca berulang kali tanpa rasa jemu.

"... menulis dapat membawa perubahan."

Masih saya ingat satu ketika dahulu, apabila ditanya apa yang ingin saya lakukan selepas bergelar graduan. Saya diam seketika, dan berfikir sedalam-dalamnya.

Secara jujurnya, saya punya berjuta impian dan terlalu banyak perkara yang saya mahu lakukan dalam hidup. Berilah berjuta pilihan pun, akhirnya saya akur dengan peraturan hidup di dunia ini. Saya hanya bisa memilih satu sahaja.

Sewaktu saya menjalani Summer Camp-kursus pendek Bahasa Mandarin di China, saya dihujani dengan pelbagai tawaran pekerjaan yang amat lumayan. Ya, sebagai manusia biasa yang mudah tergoda dengan angka-angka besar, saya hanyut dalam angan-angan yang belum pasti.

Saya tidak mahu makan gaji buta atau merasa kesenangan dengan hanya goyang kaki. Sebetulnya saya mahu mendapat nafkah yang halal dari titik peluh sendiri. Sekadar mendapat pekerjaan yang baik belum tentu duit yang dipegang itu halal.

Apabila saya melihat diri saya di cermin. Saya berfikir lagi. Berbekalkan ilmu yang masih belum cukup di dada, saya merasa masih banyak lagi yang perlu saya pelajari sebelum berhijrah ke China. Lagipun penguasaan Bahasa Mandarin saya belum sampai ke tahap dewa.

Saat yang dinantikan telah tiba. Sebaik sahaja tamat pengajian, saya memilih untuk menjadi penulis. Penulisan saya tidaklah sehebat mana, tapi saya kira tidak salah untuk mencuba. Menulis amat melegakan kerana dapat meluah dan berkongsi. Apabila cerita yang disampaikan itu dapat menceriakan hidup seseorang, ia menjadikan hidup saya lebih bermakna.

Pernah sekali ada yang sangsi dengan pilihan saya ini. Saya dipaksa untuk menerima mengenali sesuatu yang baru. Betapa kecewanya hati ini apabila ketulusan dan keikhlasan dipersoalkan. Jiwa saya memberontak dan berkecamuk, apabila syaitan merasuk. Bila saya tenang semula, walaupun dipaksa, pilihan yang diberikan boleh tahan juga hebatnya. Saya seronok mempelajari sesuatu yang baru. Benarlah kata orang tak kenal maka tak cinta.

Saya kembali menulis kini. Hati ini tidak henti ingin berbicara dan minda ini tidak sabar untuk bercerita. Saya pasti, saya suka menulis dan tidak akan sesekali berhenti dari belajar. Buat pengetahuan anda, saya tidak pernah menulis dengan serius sebelum ini. Tapi saya percaya seandainya kita ikhlas dalam melakukan sesuatu, ianya akan mendatangkan kebaikan.

Meskipun kasih sayang saya tertumpu pada bidang penulisan, tapi rasa cinta saya terhadap bahasa, grafik, dan komik tidak pernah padam. Dan disinilah saya berdiri kini. Tidak pernah saya sesali memilih jalan ini kerana menulis merupakan cinta sejati saya... Jangan sesekali anda persoalkan dengan pilihan saya ini, kerana saya amat pasti dan bahagia dengan keputusan hati ini.

Percayalah, bahawa menulis merubah segalanya :)

Comments

Popular Posts