Review Legoland Malaysia
Apabila mendengar perkataan Lego, apakah yang akan muncul dari kotak fikiran anda? Pasti anda akan membayangkan blok-blok kecil yang boleh dicantumkan mengikut imaginasi dan kreativiti anda. Saya yakin semua orang pernah bermain Lego. Sekiranya bukan jenama Lego sekalipun, saya pasti semua kanak-kanak membesar pernah bermain permainan bina-bina.
Sebelum 15 September ini, apa kata saya beri sedikit komen kepada Legoland untuk memperbaiki lagi mutu perkhidmatan mereka sebelum dibuka kepada orang ramai. Saya ingin meminta maaf terlebih dahulu sekiranya entri dan penulisan saya bernada marah. Saya harap Legoland dapat menerima kritikan dan komen saya secara terbuka.
Selamat datang!
Tempat Letak Kereta:
Kita mulakan dari tempat letak kereta. Disebabkan tiada pokok, keadaan di sini amat panas dan membahang. Silalah bawa payung dan sapukan sun block terlebih dahulu jika tidak mahu terbakar. Perjalanan dari tempat letak kereta hingga ke pintu gerbang utama memakan masa 5 minit masa berjalan kaki. Bila sudah sampai, anda akan mendengar jingle yang amat menggembirakan diputar berulang kali, serasa macam dunia Tetris pun ada.
Seronok!
Halangan di Pintu Masuk:
Selepas mengambil tiket, kami bertiga pun berjalan menuju ke pintu masuk. Seperti biasa, pemeriksaan beg diadakan terlebih dahulu. Perkara yang paling meralatkan di sini ialah air dan makanan tidak dibenarkan di bawa masuk. Botol air terpaksa ditinggalkan di pintu hadapan. Ini sangat memusykilkan kerana adik saya memberitahu Legoland Billund membenarkan pengunjungnya untuk membawa air masuk. Saya mengerti tindakan Legoland menghalang makanan luar dari dibawa masuk kerana ingin menjaga kebersihan. Tapi saya yakin ada cara yang lebih mesra pelanggan.
Jika anda pernah ke Disneyland California/ Universal Studios (US) Hollywood, minuman dalam botol atau tumbler dibenarkan asalkan bukan air berbungkus seperti yang dijual di pasar malam. Makanan yang dibenarkan di Disneyland adalah seperti sandwich, roti dan makanan ringan. Tiada salahnya membawa makanan luar asalkan anda tidak "berkenduri" dalam taman tema tersebut. Rasanya faham kan?
Inilah rupa tiket Legoland
Tiket:
Sistem tiket yang digunakan di sini sangat canggih. Sama seperti US dan Disneyland, setiap tiket mempunyai kod bar tersendiri dan tidak boleh ditukar milik. Tetapi sekiranya anda sudah keluar Legoland, anda sama sekali tidak dibenarkan masuk semula meskipun memiliki tiket. Saya tak tipu, saya memang bertanya kepada petugas di pagar masuk.
Saya: Akak, kalau keluar dari Legoland nak pergi parking sekejap lepas tu boleh masuk balik ke?
Penjaga: Maaflah dik, dah keluar memang tak boleh masuk balik.
Saya: La yeke, kalau sensor tiket sekali lagi tak boleh ke?
Penjaga: Tak boleh dik.
Saya: (berlalu tarik muncung panjang)
Pernah sekali saya tersesat di US Singapore (USS), saya meminta izin dari petugas pagar untuk keluar mencari kawan-kawan yang lain. Petugas di USS membenarkan, asalkan ada tiket, keluar masuklah sesuka hati. Mungkin ada yang mengandaikan saya cuma bertuah pada waktu itu. Tetapi kali kedua saya ke USS bersama keluarga, saya tidak sempat untuk ke tandas, jadi saya ingin ke tandas luar kerana itulah tandas yang paling dekat. Sekali lagi USS tidak mengecewakan saya. Peraturannya mudah sahaja, asalkan ada tiket, boleh keluar masuk sesuka hati. Di Disneyland California juga sama, siap ada hop ticket lagi.
Mungkin ramai yang akan berasa hairan, apa perlunya keluar setelah masuk ke Legoland? Begini... Sekiranya makanan dan minuman tidak dibenarkan untuk dibawa masuk, mungkin pengunjung yang datang membawa makanan sendiri boleh makan di tempat letak kereta. Pada saya ini tiada salahnya. Situasi ini dikira win-win situation. Pengunjung menghormati peraturan Legoland, dan pihak Legoland mungkin boleh melonggarkan sedikit syarat dengan membenarkan orang untuk keluar seketika. Sudah selesai menjamu selera, kembali masuk ke dalam Legoland untuk bergembira. Hmm, saya harap selepas pembukaan rasmi Legoland nanti masalah keluar masuk ini tidak berlaku.
Isu Air:
Perihal kekurangan air minuman amat merunsingkan saya ketika berada di dalam Legoland. Sudahlah air tidak boleh dibawa masuk, kemudahan asas seperti water dispenser juga tiada. Tiadanya water dispenser membuatkan saya rasa Malaysia bertambah panas. Di USS, US Hollywood, dan Disneyland, water dispenser terdapat dimana-mana sahaja. Selain dari menghilangkan dahaga, water dispenser juga amat penting untuk menenangkan mereka yang ketakutan selepas menaiki roller coaster.
Di US Hollywood terdapat kipas semburan air yang nyaman. Sedikit sebanyak ini dapat mengurangkan rasa panas dan terik cahaya matahari. Saya cuma boleh berfikiran positif dan merasakan mungkin Legoland masih belum siap sepenuhnya. Bila sudah siap nanti pasti akan lengkap semuanya.
Ini terdapat di dalam tandas lelaki yang terletak di pintu masuk
Dalam tandas perempuan
Kemudahan:
Terdapat pelbagai kemudahan seperti kaunter khidmat pelanggan, stroller, mesin atm, loker, pertolongan cemas, kafe dan restoran, (oh banyaknya, akan saya ulaskan nanti) tandas, kawasan merokok (sepanjang saya berada di dalam Legoland, saya tidak nampak sesiapa pun yang merokok. Perkara ini menggembirakan saya kerana merokok itu membahayakan kesihatan), dryer room, dan yang paling penting sekali surau! Yeayness~!
Mahu curi cermin Lego ini!
Tandas:
Tandas dalam Legoland bersih dan cantik. Biarpun dalam tandas, elemen lego tetap ada.
Seiring dan sejalan!
Surau:
Saya ingin memuji pihak Legoland kerana membina surau untuk kemudahan orang Islam beribadat. Bagus! (Tepuk-tepuk!) Saya rasa Legoland Malaysia adalah satu-satunya Legoland yang mempunyai replika Lego wanita bertudung dan replika Lelaki berbaju Melayu di luar surau.
Orang-orang Lego yang sedang bekerja...
Lelaki bertopi tinggi itu sedang membuat persembahan silap mata untuk menghiburkan pengunjung
Restoran dan Kafe:
Harga makanan dan minuman di dalam taman tema tentunya ada sedikit mahal, tapi saya yakin Legoland menjaga kualiti makanan mereka di tahap optimum. Mungkin mahal tetapi makanan yang mereka hidangkan sangat tempting dan meyelerakan. Sebotol air mineral berharga RM2.50, harga minuman dalam lingkungan RM 3 - RM 10 (paling mahal Slushie rasanya). Makanan di sini dijual dalam harga RM 20 ke bawah. Sepinggan pasta lebih kurang dalam RM 18.50, portion agak besar. Snek ringan seperti kuih-muih, pau, kek, keropok lekor pun ada.
Boleh tengok cara mereka buat pizza!
Oh lupa, sambil makan, akan ada persembahan silap mata yang sangat menghiburkan. Tetapi ahli silap mata ini hanya keluar pada waktu tertentu sahaja..
Ada banyak lagi pilihan, tapi saya beli ini sahaja
Merchandise:
Sudah tentu Legoland menjual Lego! Hehehe… Harga rantai kunci dengan karekter terkenal yang di-Lego-kan seperti Toy Story, Star Wars, dan LOTR boleh di beli dengan harga RM 19.95. Pada mulanya saya ingin membeli t-shirt, tetapi disebabkan t-shirt bertulis Legoland Malaysia tiada, saya hanya membeli rantai kunci Woody dan Buzz sahaja. Harga t-shirt? Dalam RM 70 - RM 100+
Petugas Legoland:
Petugas Legoland ada yang mesra, ada yang gayanya berpura-pura mesra, ada juga yang buat tak tahu sahaja. Secara keseluruhan, saya merasakan mereka kurang senyum. Saya tidak pernah bertugas dalam taman tema, mungkin saya tidak tahu apakah perasaan berhadapan dengan pengunjung sepanjang hari.
Namun begitu saya yakin pekerja hendaklah murah senyuman kerana Legoland merupakan taman tema untuk menggembirakan orang. Jika mereka sendiri tidak gembira, bagaimana hendak menggembirakan orang lain? Tidak semua pekerja Legoland itu teruk, tetapi biarlah saya berkongsi pengalaman yang menjengkelkan terlebih dahulu. Ingin saya tegur di sini ialah etika kerja salah seorang petugas di The Project X.
Petugas: Cepat! Cepat! Pukul 6 dah nak tutup!
(macam marah dan langsung tak senyum)
Pada saya kata-kata sebegini tidak wajar dilontarkan kepada pengunjung yang beratur panjang menanti giliran mereka. Perbuatan ini sangatlah tidak profesional. Kalau betullah anda penat dengan tugas seharian sekalipun, janganlah mengeluarkan kata-kata begini. Mungkin petugas Legoland Malaysia perlu menghadiri kursus etika budi bahasa atau khidmat pelanggan sebelum dibenarkan bertugas. Andai tidak boleh sabar juga, lebih baik senyum sahaja. Jika di Disneyland, mereka akan mengumumkan dengan cara yang penuh santun.
Petugas Legoland juga kurang info dan nampak kurang bersedia. Bila saya bertanya jam berapakah Legoland ditutup, tiada seorang pun memberikan jawapan yang tepat. Ada juga yang kata tak tahu. Yang paling kelakar ada yang jawab "saya ni cashier je." Hairan sungguh. Meskipun ada pepatah mengatakan Ignorance is bliss, tetapi dalam situasi ini ternyata ianya menyukarkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat. Di Disneyland California, petugas yang sedang menyapu sampah jauh lebih mesra dan informative. Bagilah apa-apa pop quiz pun, mereka sudi membantu.
Masih saya ingat ketika berada di Disneyland, Faiz mencari coin press book di salah sebuah kedai cenderahati (di Fantasyland kalau tidak silap).
Faiz: Excuse me, do you know where I can find a coin press book?
Petugas: Yes. Come with me!
(saya dan Faiz pun ikut petugas itu. Dia pun menunjukkan coin press book yang mempunyai gambar Tinker Bell)
Faiz: Err, do you have any coin press book which is more suitable for a boy?
Petugas: Oh yes we do. Hold on let me check for a while.
(Petugas itu pun mencari tetapi tidak ada)
Petugas: I'm sorry, I think we're running out of stock here. But let me check if there's any at the other shops nearby.
(Kami pun tunggu. Petugas itu terus menghubungi kedai-kedai yang berhampiran)
Petugas: Sorry to keep you waiting, there's plenty of coin press book with Mickey on the cover at the Main Street. If you can just wait here for a while, let me go there and get one for you.
Saya: Thank you so much for the info but no thank you. We're about to go there anyway. Thanks again yah, you're very helpful!
Petugas: You're welcome.
Inilah kesungguhan petugas Disneyland yang perlu dicontohi. Mereka sehabis boleh mahu memberikan yang terbaik buat pengunjung. Saya harap petugas Legoland akan lebih bersedia selepas ini.
Saya juga ingin memuji beberapa orang yang baik hati dan sabar dalam menjalankan tugas. Faren sahabat kami yang menyambut kami dengan seyuman walaupun sedang berdiri di tengah panas. Beberapa orang petugas di Aquazone Wave Racers yang sangat mesra dan menawarkan pertolongan untuk mengambil gambar. Penjaga maskot Lego Buddy juga sangat bagus kerana sikap sabar dan toleransinya membenarkan kami mengambil gambar bersama Buddy walaupun dia hendak beransur. Salah seorang cashier di Driving School Shop juga murah dengan kemaafan dan senyuman apabila mesin wang tidak berfungsi dengan begitu baik dan terpaksa membuat kami menunggu.
Kepada mereka yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan sabar, syabas saya ucapakan. Teruskan usaha anda! Kepada mereka yang lain, senyumlah. Bukankah senyum itu sedekah? Saya percaya, dengan kesantunan budi bahasa dapat melembutkan hati manusia.
Legoland di Waktu Malam:
Saya tidak berkesempatan untuk duduk dengan lebih lama kerana petugas di The Project X tadi sudah memberitahu Legoland ditutup pada jam 6 petang. Jadi saya dan kawan-kawan pun beredar. Tetapi keesokan harinya, gambar Miniland yang indah terpampang di hadapan akhbar Utusan. Ada sedikit rasa kecewa kerana tidak dapat menyaksikan Miniland berlampu yang indah itu. Barangkali mereka hanya membenarkan pihak media untuk membuat liputan. Huhuhu… Saya ada sedikit rasa aneh dengan kenyataan yang dibuat dalam akhbar Utusan. Utusan menyebut bahawa Legoland bakal dibuka secara rasmi pada 22 September nanti. Sumber di sini.
Tetapi di risalah yang terdapat dalam Legoland sudah diumumkan tarikh pembukaannya pada 15 September ini. Jadi mana satu yang betul?
Ini diambil dari risalah Legoland
Saya rasa setakat ini sahaja yang boleh saya kongsikan dengan pembaca semua. Dengan menulis begini bukanlah bermakna saya bencikan Legoland. Saya cuma memberi komen dan membuat perbandingan dengan taman tema yang pernah saya kunjungi dahulu. Sebagai peminat taman tema dan thrill rides, sudah tentu saya amat mengalu-alukan kedatangan Legoland ke Malaysia. Bohonglah andai saya tidak bangga dengan adanya Legoland di Malaysia.
Kepada pengunjung yang ingin datang ke Legoland, saya amat menggalakkan keluarga yang punya anak kecil berumur 5 - 12 tahun . Mereka pasti akan gembira bila berada di sini. Pesan saya, tolong jaga kebersihan apabila anda berada di dalam Legoland (bahkan di mana-mana sahaja). Kebersihan mencerminkan ketamadunan sesebuah negara. Kepada pengunjung, sila tingkatkan kesabaran dan anda juga perlu menjaga budi bahasa apabila berbicara dengan petugas. Sikap kurang ajar tidak diraikan di taman tema yang gembira. Treat people how you want to be treated.
Kepada mereka yang berminat untuk ke Legoland, sila ikuti laluan ini:
From Singapore via Tuas Second Link within 10 minutes drive time
- Proceed until you see the Nusajaya EXIT 312 --> You will see Legoland Malaysia signage
From Johor Bahru/ CIQ/ Singapore via the Coastal Highway
- From Danga Bay, proceed straight via the Coastal Highway --> proceed all the way to Nusajaya --> Legoland Malaysia will be seen before reaching Kota Iskandar
From The North-South Highway/ Senai Airport
- Take Tuas/ Nusajaya/ Pontian/ Tanjung Pelepas EXIT 253 --> proceed to Nusajaya EXIT 312 --> Legoland Malaysia signage will lead you to the destination!
GPS: N1° 26'14" E103°37'2".
Walaupun di awal entri saya mengatakan bahawa semua orang dibesarkan dengan Lego, tetapi tidak saya. Saya tidak punya rezeki untuk memiliki permainan lego pada zaman kanak-kanak dahulu. Apabila sudah dewasa dan dapat masuk ke taman tema Legoland, Legoland ternyata berjaya menerbitkan rasa riang seorang kanak-kanak dalam diri saya pada satu ketika dahulu. Terima kasih Legoland! Saya pasti akan datang lagi! :)
Yeah~ btol ape yg idaman ckp tu! Ape pun kepada kanak-kanak~ selamat bergembira dengan taman tema yg sesuai utk korg!
ReplyDeleteSebelum mana2 manager dari legoland komen, (walau sy tatau kabarangkalian mereka baca) biar saya berikan jawapan2 template manager Malaysia:
ReplyDelete"Kita jangan samakan taman tema kita dengan taman tema luar!"
"Maaf atas kesilapan pihak kami, kami akan cuba menaikkan taraf mutu perkhidmatah kami (tapi takde sape akan melakukan apa2, atas konon2 management issue & politikus dalaman)"
lalala~
SETUJU!
ReplyDeleteMembaca entry ini membuat kan sy ingin menegur management Legoland Malaysia supaya.. Prepared your staff with information and attitude.
Pernah ke Disneyland California, Universal Studio LA, and this is not cara membuat pelanggan gembira di tempat yg sepatut nya menggembira kan~
Thank you for your honest feedback. I have notified the management and we will look into ways to improve our guest's experience. We hope to see you again in the future. Cieee :P
ReplyDeleteDaripada apa yang aku belajar daripada kawan yang pernah bekerja di Disneyland, di sana setiap pekerja ada benefit masing2. Setiap pekerja dapat diskaun, benefit, special kupons, bonus, etc. Ini adalah inisiatif daripada pihak taman tema sendiri untuk keep employees diorang happy. In their perspective, if the employees are happy, the customers will be happier.
ReplyDelete