Memburu Sejarah II: The Baba House Boutique Hotel di Heeren Street

Kami menetap di The Baba House Boutique Hotel yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock, amat hampir dengan Jonker Walk. Nama asal Jalan Tun Tan Cheng Lock ini ialah Heeren Street. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, nama jalan ini ditukar kepada Jalan Tun Tan Cheng Lock kerana beliau lahir di sini. Saya akan kupas mengenai Tun Tan Cheng Lock selepas ini.

Di sepanjang Heeren street inilah terletaknya nadi sejarah pemodenan Melaka. Kesemua bangunan di jalan ini padu dengan elemen sejarah, seni, dan pastinya setiap satu bangunan di sini punyai cerita yang tersendiri. Andai anda ingin mempelajari sejarah, mengkaji seni binaan Belanda dan Oriental, mengenali gaya hidup Peranakan dengan lebih dekat, disinilah tempatnya.

Apa itu Heeren? Itulah soalan pertama yang bermain di fikiran kami. Terdapat perkataan Heeren di mana-mana. Terutamanya hotel. Terdapat lebih dari lima buah hotel yang namanya Heeren. Pada mulanya kami menyangka Heeren ialah nama orang, mungkin gelaran, satu macam surname .

Tapi sangkaan kami meleset sekali. Setelah menemu ramah penduduk di sini, barulah kami tahu bahawa Heeren ialah panggilan orang Belanda, orang Cina memanggilnya Holland street. Nama asal tempat ini ialah Kampung Belanda atau lebih sinonim dengan panggilan Millionaire's Row, Lorong Jutawan. Dengan sedikit bantuan daripada Google, Heeren bermaksud Gentleman dalam bahasa Belanda.

The Baba House Boutique Hotel yang  indah ini terletak bersebelahan dengan Chee Mansion yang agung, berhadapan dengan Eng Choon Association dan Hotel Puri. Dari luar, hotel ini nampak macam kecil, tapi bila dah masuk, saya yakin anda boleh sesat dalam bangunan ini. Binaan rumah kedai di sini ada sedikit aneh dan unik. Aneh sebab ianya memanjang, unik sebab bila masuk, seolah-olah berada di timezone yang berbeza.


 Bergambar di ruang yang paling cantik dalam hotel butik ini. Ruang legar di tengah-tengah rumah yang membenarkan cahaya masuk ke dalam. "Tingkap Adabi" ini memberikan perasaan nostalgia seolah-olah berada di zaman Malaya satu ketika dahulu

Kalau anda bukan seorang yang berani untuk menginap di bangunan lama, hotel ini memang tidak sesuai untuk anda. Sepanjang malam di sini tiada pengalaman angker pun, cuma saya rasa kalau anda superstitious, lebih baik jangan. Tetapi kalau anda backpackers, sekadar hendak tidur sahaja ok sangat sebenarnya dengan harga RM100 untuk semalam. Kalau ada promosi RM98. Ada TV, pendingin hawa, kemudahan air panas dan sarapan juga disediakan.

Binaan di sini dipengaruhi dengan seni bina Belanda tetapi masih mengekalkan ciri-ciri Oriental. Elemen Feng Shui juga tidak dilupakan. Hotel yang setinggi 2½ tingkat ini dihiasi dengan perabot peranakan, gambar-gambar lama Cina Peranakan dan motif-motif seni dari China. Tangganya agak curam dan pada pendapat saya tidak sesuai untuk kanak-kanak. Dalam hotel ini terdapat perigi yang telah ditutup dan tidak lagi digunakan. Ini kerana Melaka akan mengalami musim kemarau pada zaman dahulu. Oleh itu, setiap keluarga hendaklah menggali perigi untuk sumber air. Air perigi ini ada sedikit masin kerana belakang rumah ini (sebelum ditambak pada zaman moden) pada zaman dahulunya adalah laut.

 Saya tertanya-tanya sudah generasi ke berapalah agaknya pemilik hotel ini. Saya rasa rumah ini berkemungkinan besar jauh lebih tua dari moyang saya. Selepas menemu bual beberapa orang penduduk, barulah kami tahu bahawa pemilik hotel ini adalah seorang warga Singapura. Pada asalnya ini adalah sebuah kedai barangan antik yang pertama di Heeren Street.

Pemilik asal kedai antik tersebut menjual kedai ini atas beberapa sebab. Kami sangat bertuah kerana dapat bertemu dengan anak perempuan pemilik asal kedai antik itu di selang beberapa kedai yang lain. Saya rasa mereka ini berusaha untuk mengekalkan warisan nenek moyang tetapi atas peredaran zaman, mereka akur dengan keperluan dan kehendak bisnes semasa.

Sekiranya anda berminat untuk melihat gambar hotel ini, boleh klik di sini. Tapi gambar-gambar yang dipaparkan tidaklah segah dengan keadaan hotel. Saya rasa amat sayang hotel yang cantik ini tidak dijaga dengan baik. Tetapi bila fikirkan kos untuk membaik pulih bangunan yang lama tidaklah murah. Tolong jangan salah faham, ianya masih cantik, tapi saya ada sedikit kesal melihat keadaan hotel yang berhabuk dan suram.

Disebabkan saya tidak suka bergambar, atau lebih tepat tidak pandai mengambil gambar, tiada banyak yang rekodkan di sini. (Sila baca dalam mode penyesalan). Saya juga jelak dengan orang yang suka mencilok gambar dari blog saya tanpa kebenaran. Saya memilih untuk tidak letak watermark kerana saya rasa watermark mencacatkan gambar. So, there.

 Sepanjang berada di Melaka, kami lebih banyak menghabiskan masa untuk berjalan kaki dan berbual dengan penduduk setempat. Orang-orang di sini sangat ramah dan murah senyuman. Mereka tidak lokek untuk berkongsi dan bercerita tentang kisah keluarga. Rasa macam nak buat journal untuk mendokumentasikan lorong ini pula!

Jumpa di entri seterusnya! :)

Comments

Popular Posts