Majalah Seni Berurutan
Minggu lepas saya pulang ke Seremban dan mengemas rak buku saya yang terlalu serabut. Disebabkan terlalu banyak buku yang baru dibeli, saya terpaksa menghadiahkan dan menjual beberapa buku dan komik lama. Huhuhu...
Oleh kerana saya ialah seorang manusia yang sukar untuk fokus, saya mengambil masa yang terlalu lama untuk mengemas kerana terlalu banyak gangguan. Maksud "gangguan" di sini ialah saya akan membelek majalah, buku atau komik yang sudah sekian lama tidak disentuh.
Sedang mengemas, saya terjumpa tiga buah majalah/ komik/ majalah komik tempatan yang terkesan dalam jiwa saya sebagai pembaca komik. Barang siapa yang merasakan komik adalah satu bahan bacaan yang sia-sia, kemungkinan besar tidak pernah membaca Doraemon. Anda sangat kasihan :p
Maafkan saya kerana gambar yang dipetik kurang jelas.
Biar saya mulakan dengan komik yang berada dibahagian kiri sekali. Itu ialah komik keluaran Creative Enterprise yang bertajuk Tun Teja. Selain dari Tun Teja, saya ada komik Tun Kudu dan Tun Perak. Siri komik klasik ini mempamerkan kisah-kisah sejarah dan hikayat Melayu lama. Saya memuji pihak Creative Enterprise kerana mengeluarkan komik begini. Komik yang berbentuk sejarah sangat menarik dan sedikit pun tidak membosankan. Walaupun saya sukakan fakta dalam bentuk teks, tetapi fakta dalam bentuk visual itu lebih menarik dan mudah dicerna.
*Kepada sesiapa yang tahu di mana saya boleh dapatkan tajuk-tajuk yang lain silalah kongsikan bersama saya.
Seterusnya ialah Urban Comics! Siapa yang tidak kenal atau tidak pernah tahu akan kewujudan Urban Comics mungkin terlalu hanyut dengan majalah komik Mangga yang menampilkan slogan "Bukan Sebarang Komik". Hahaha! Urban Comics adalah aliran baru semacam harapan dalam industri komik Malaysia. Percayalah, orang Malaysia sangat berbakat sebenarnya. Ketika saya membelek helaian pertama Urban Comics ini, saya sememangnya blown away dengan cerita Siapa? Komik yang sangat seni dan abstrak ini sememangnya halwa mata buat penggemar komik. Oh, komik Cameo best juga :D
Tapi sayang, Urban Comics tidak lama di pasaran.
Selepas Urban Comics lenyap, muncul pula Komikoo. Saya amat gembira bila dapat bertemu semula dengan Pinky yang amat dirindui. Dalam Komikoo muncul semula cerita Siapa? Yeay! Artikel-artikel dalam majalah ini juga lebih segar dan sangat KBKK. Kehadiran Komikoo dalam industri komik seolah-olah memberi nafas baru setelah sekian lama saya semakin jelak dengan majalah komik Gempak dan seangkatan dengannya.Sayangnya, jangka hayat Komikoo juga tidak lama. Mungkin terlalu banyak ujian yang perlu ditempuhi oleh Komikoo.
Begitulah nasib tiga majalah/ komik/ majalah komik kesukaan saya. Komik datang dan pergi. Yang pastinya saya membuat keputusan untuk menyimpan ketiga-tiga majalah/ komik/ majalah komik yang amat istimewa dan rare ini. Satu ketika dahulu saya juga sangat meminati manga, tapi lama-kelamaan rasa muak dan menyampah. Saya harap akan ada lebih banyak majalah/ komik/ majalah komik seperti ini di masa akan datang :)
Comments
Post a Comment