Mengasihi Teman

Satu pagi, Nurul menegur saya untuk membaca blognya. Sungguh saya terharu kerana dia menulis sesuatu yang menyenangkan saya. Dan rasa terharu itu bertambah apabila dapat tahu betapa dia menghargai manusia disekelilingnya. Terima kasih Nurul kerana membuat hati ini berbunga membaca kata-katamu itu :)

Saya tertarik dengan kata-kata yang saya ambil dari blog Nurul. Menurut beliau, kata-kata bermakna ini diberi oleh seorang sahabatnya.

"Apabila kau ingin berteman, janganlah kerana kelebihannya,
kerana dengan satu kekurangan, kau akan menjauhinya...
Andai kau ingin berteman, janganlah kerana kebaikannya,
kerana dengan satu keburukan kau akan membencinya...
Andai kau ingin bersahabat, janganlah kerana ilmunya,
kerana apabila dia buntu, kau akan memfitnahnya...
Andai kau ingin berkawan, janganlah kerana sifat cerianya,
kerana apabila dia tidak dapat menceriakan kau lagi, kau akan menyalahkannya...
Sahabat bukan untuk sementara, tetapi selamanya...
Bukan untuk dimusuhi, tetapi untuk disayangi...
Bukan hanya di sini, tetapi di mana-mana...
Bukan setakat ini, tetapi hingga hujung nyawa...
Andai kau ingin bersahabat, terimalah dia seadanya,
kerana dia manusia biasa juga..."

Itulah petua dalam persahabatan. Saya sendiri masih tercari-cari erti kawan sebenar, kerana saya tidak punya kawan yang kekal dari zaman kanak-kanak hingga kini. Apabila saya melihat rakan-rakan lain yang kekal bersahabat hingga dewasa, terdetik rasa cemburu.

Hidup ini umpama pentas lakonan. Yang Maha Esa adalah pengarahnya, Dialah yang memerhatikan semua watak yang telah diciptakan-Nya. Skripnya adalah Qada' dan Qadr. Setiap watak boleh mengubah jalan cerita atau perwatakan mereka dengan menghantar proposal dalam bentuk doa.

Dalam perjalanan hidup saya selama 23 tahun ini, saya telah bertemu dengan pelbagai watak yang menarik. Saya percaya, baik atau buruk perlakuan satu-satu watak itu kepada saya (mahupun pada sesiapa), saya belajar banyak daripada mereka.

Sebahagian dari watak yang muncul dalam pentas hidup saya...

Secara jujurnya, saya mengagumi semua watak yang berada di sekeliling saya. Terkadang saya merasakan bahawa saya terlalu menyayangi mereka hingga terbit rasa iri dan benci. Meski khilaf yang dilakukan tidak mereka sengajakan, namun hati saya dengan mudahnya bertindak untuk menghukum dan membenci. Jauh di sudut hati saya, ikhlas, saya amat menyayangi mereka. Teramat sayang :)

Saya tidak tahu apa erti kawan yang sebetulnya. Ianya terlalu subjektif. Saya juga tidak dapat membezakan apa itu kawan, lawan, teman, cinta dan obsesi. Berikut merupkan kekeliruan dan persoalan yang sering terbit dalam kepala saya:

Kawan - Mengapa seseorang itu bergelar kawan andai dia melayan kita dengan cara yang begitu istimewa dan luar biasa? Cinta itu buta? Saya pula merasakan bahawa kala cinta itu wujud, ianya sengaja dibutakan oleh sebelah pihak kerana tiada perasaan yang wujud. Sengal sungguh...

Lawan - Layakkah seseorang itu yang dianggap lawan, kala kesusahan, kita datang mencarinya? Bertemu dan berlakon baik depan lawan, adakah itu adat dalam sesebuah pergaulan?

Teman - Mengapa seorang yang bergelar teman itu sanggup menemani seseorang yang susah sedangkan diwaktu senang teman itu dibuang begitu sahaja? Tidakkah teman itu berasa sedih dengan layanan sebegitu atau teman itu memang pasrah?

Cinta - Benarkah cinta itu sekadar ungkapan semata? Saya pernah diberitahu, selagi tidak punya ikatan yang sah, perhubungan itu masih dianggap berkawan. Apa yang saya tahu, cinta pada Allah s.w.t. adalah pasti.

Obsesi - Adakah obsesi itu satu perbuatan yang melampau? Jika obsesi itu satu usaha untuk membuktikan sayang kepada seseorang, adakah itu salah?

Semua ini tidak tertulis di mana-mana buku, kerana saya percaya rasa sayang itu amatlah sukar untuk diungkapkan. Setelah menulis entri yang panjang berjela ini, barulah saya mengerti...

... Patutlah saya tiada nafsu :p

Comments

  1. "Hidup ini umpama pentas lakonan. Yang Maha Esa adalah pengarahnya, Dialah yang memerhatikan semua watak yang telah diciptakan-Nya. Skripnya adalah Qada' dan Qadr. Setiap watak boleh mengubah jalan cerita atau perwatakan mereka dengan menghantar proposal dalam bentuk doa."

    This is beautiful. nicely written.

    ReplyDelete
  2. Idaman..satu petua dalam berkawan ialah, kita jangan berharap sahabat itu akan buat sesuatu untuk kita..kerana kita yang patut mulakan dahulu..saya pernah rasa kehilangan seorang kawan baik..dan rasa itu sgt sakit!dan saya x mahu lg rasa kehilangan itu..itu la sebab saya sanggup buat apa saja untuk jaga sesebuah persahabatan..

    ReplyDelete
  3. bila idaman nak menekan lagi huruf ?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts