Wanita itu Keliru
Selamat Hari Wanita Sedunia, buat semua wanita yang meraikannya. Kenapa ada hari wanita? Saya sendiri belum sempat mengkaji tentang sejarah kemunculan hari ini. Tetapi saya rasa hari ini adalah hari untuk mengenang jasa-jasa wanita perkasa. Sempena Hari Wanita Sedunia ini, ingin saya berkongsi satu pendapat yang saya telah lama saya ingin tulis di sini.
Lip lap lip lap gitu...
Sudah lali kita dengar perihal memartabatkan kaum wanita, memperjuangkan hak wanita, wanita itu dan wanita ini. Semua kisah ini diceritakan dengan penuh semangat dan berkobar-kobar sekali. Tapi kali ini saya ingin mengupas satu topik sahaja iaitu hak wanita untuk berfesyen. Ingin saya jelaskan di sini, berfesyen itu tidak salah sama sekali. Tapi saya hairan mengapa wanita begitu tegar menyalahkan lelaki bila ada kes cabul, rogol dan macam-macam lagi berlaku ke atas wanita.
Pada pendapat saya, memang kes jenayah yang disebutkan dilakukan oleh lelaki, tetapi saya rasa tidak adil sekiranya kita menyalahkan kaum Adam sahaja. Kaum Hawa juga perlu bijak dalam berpakaian. Saya sendiri tidak sempurna tetapi saya harap kita sama-sama dapat memperbaiki diri kita baik di dunia dan di akhirat kelak.
Saya punya seorang kawan yang gemar bergaya, biarlah saya perkenalkannya dengan panggilan Rina. Rina sangat gemarkan fesyen dan tidak dinafikan, dia amat gemar menyarungkan pakaian yang (tidak seksi pada pendapatnya tetapi sebenarnya) sangat mencuri perhatian. Tambah lagi dengan bentuk tubuh yang menggiurkan, tidak hairanlah jika Rina sering menjadi perhatian mata-mata liar di luar sana.
Rina sering mengeluh kepada saya tentang perasaan "tidak selamatnya" apabila dijeling oleh lelaki. Pernah beberapa kali Rina disapa secara tiba-tiba oleh lelaki yang tidak dikenalinya, dan yang paling serius, dia pernah menjadi mangsa raba oleh lelaki yang bijak mengambil kesempatan. Dia menyalahkan lelaki kerana bertindak begitu kurang ajar sekali. Mungkin ada benar kata Rina itu tetapi saya masih merasakan kalau dia berpakaian sopan, Insya Allah, dia tidak akan dikacau begitu lagi.
Sehinggalah pada satu hari, saya menegur cara Rina berpakaian kerana hobinya mengeluh itu berlarutan. Pada hari itu, Rina mengenakan skinny jeans, tank top berwarna hitam dan sehelai sheer top yang mendedahkan bahunya dan menampakkan tali baju dalamnya yang berwarna merah.
Pandang sekali rezeki, pandang dua kali berdosa
Rina: Tengok, mamat tu jeling-jeling kat sini. Ish, kalau handsome takpe jugak. Gatal betul!
Saya: Mana awak tahu dia tengok awak?
Rina: Tengokla, dia tersengih-sengih pandang sini.
Bila saya tengok ke arah lelaki itu, sememangnya dia sedang memandang Rina.
Saya: Hmm... Apa kata awak cuba pakai elok sikit. Mesti takde orang kacau.
Rina: Kenapa awak cakap macam tu, buruk sangat ke baju yang saya pakai ni?
Saya: Bukan buruk, tapi kurang manis. Cuba pakai sahsiah rupa diri sikit.
Rina: Baju saya ok kot, kalau tengok amoi-amoi luar sana tu lagi la pakai macam-macam. Ok je.
Saya: Amoi kat luar sana tu biarlah nak pakai apa pun. Tu diorang. Yang kena kacaunya sekarang ni awak.
Rina: Habis tu, takkan nak pakai baju kurung all the time?
Saya: Adoila, adoila... Tak semestinya baju kurung. Kalau baju yang tak dedah-dedah pun dah kira ok. Bila awak pakai macam ni, lelaki manalah yang tak cuci mata.
Rina: Ala, saya tak sukalah nak pakai t-shirt besar ke apa. Nampak kampung tau, macam sarung nangka pun ada.
Saya: ... Suka hatilah.
Melalui perbualan di atas, dapatlah kita tahu bahawasanya:
1. Rina berpakaian sebegitu sememangnya untuk menarik perhatian lelaki
"... kalau handsome takpe jugak..."
dari ayat ini sahaja kita dapat tahu yang Rina sebenarnya menaruh harapan tinggi menggunung untuk lelaki kacak melihatnya. Perempuan begini sebenarnya memang suka dipandang atau dalam bahasa kasarnya attention whore. Kepada kaum Adam yang merasakan diri mereka kacak, berilah sedikit perhatian kepada perempuan seperti Rina ini. Walaupun kononnya rasa tidak selesa apabila menjadi perhatian, tetapi jauh di dalam lubuk hati kecil, mereka ini sebenarnya ingin sekali dipikat.
2. Mudah terpengaruh
"... amoi-amoi luar sana tu lagi pakai macam-macam..."
Ayat ini adalah fakta dan sedikit pun tidak saya nafikan tentang kebenaran ini. Malaysia memang sentiasa mengalu-alukan budaya yang datang. Tidak kiralah dari Hollywood ke, Bollywood ke, K-Pop ke, apa-apa sahajalah. Malaysia memang menerima fesyen dengan begitu terbuka sekali. Tapi perlukah kita ikut semua fesyen yang ada semata-mata tidak mahu dianggap ketinggalan? Kepada mereka yang mampu jelaskan perkara ini tolonglah beritahu saya.
3. Tidak mahu dilabel kampung
Saya sebenarnya rasa sedih bila mendengar jargon sebegini jatuh ke atas orang-orang yang dianggap tidak terbuka. Kampung ialah tempat yang indah dan mendamaikan, mengapa istilah kampung yang digunakan saya juga kurang mengerti. Kampung juga yang dituduh. Seksi dan selesa itu amat subjektif, tetapi adakah berpakaian sopan itu satu jenayah? Berpakaian seksi juga bukan satu jenayah. Tetapi bila diganggu dan menjadi perhatian merungut pula.
Sebenarnya perkara ini mudah sahaja. Kalau benar ikhlas mahu memelihara diri, ada caranya. Apatah lagi fesyen juga semakin berkembang sekarang, mencari pakaian yang "terpelihara" bukan satu masalah. Bijak berpakaian dan bijak bergaya adalah dua perkara yang amat berbeza. Wanita itu mudah keliru dengan perkara yang remeh sebegini. Mungkin mengada-ngada sebetulnya.
Saya yakin diluar sana ada yang masih lagi menyalahkan lelaki kerana sekarang banyak kes rogol dilakukan ke atas kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa. Perkara ini berlaku kerana lelaki yang bermasalah mental tidak dapat melepaskan nafsu ke atas wanita yang seksi, bila nafsu itu disimpan lama akhirnya mereka melempiaskan kepada kanak-kanak pula. Sedihkan? Kalaulah semua orang tahu menjaga aurat sebetulnya, saya yakin perkara yang sick sebegini tidak akan berlaku.
*Juga peringatan untuk diri sendiri ):
Wanita perkasa itu tidak semestinya perlu berjaya dalam perniagaan, memiliki harta sendiri, berjaya mengharumkan negara. Wanita perkasa juga adalah wanita yang bijak memelihara diri. Sekali lagi, Selamat Hari Wanita Sedunia. Lebih dari sekadar memperjuangkan hak wanita, saya harap wanita-wanita yang membaca diluar sana akan lebih menyayangi dan menghargai diri sendiri. Hargailah diri anda sendiri sebelum mengharapakan orang lain menghargai anda. Kerana diri anda begitu berharga. (Wah, gitu!)
Comments
Post a Comment