Kuasa Cuba

Pada awal Mac ini, saya dan seorang sahabat telah mendaftarkan diri masuk kelas renang. Walaupun sedikit fobia terhadap air, tapi saya beranikan diri juga. Buat pengetahuan anda semua, berenang itu juga salah satu sunnah selain dari memanah atau menunggang kuda. Sudah lama sebenarnya saya menyimpan hasrat untuk menguasai salah satu sukan tersebut dan saya memilih berenang.

Kami berenang di Sealantis (kerana Groupon ada menawarkan promosi), yang terletak di One Utama Damansara. Pada mulanya kami ingin belajar berenang di UiTM sahaja, tetapi disebabkan kolam UiTM masih lagi dalam proses pembaikan, jadi hasrat untuk berenang semakin tertangguh.


Pengajar di sini semuanya baik-baik belaka. Mereka sangat positif dan sering memberi kata-kata sokongan dan galakan buat mereka yang baru mula belajar. Walaupun kolam renang ini tidak besar, tetapi ia penuh dengan semangat positif.

Pada mulanya saya memang agak malu untuk berenang, tetapi disebabkan suasana di sini amat positif, terus hilang rasa malu dan semangat datang menjelma. Di bawah ialah antara perbualan yang ingin saya kongsikan bersama anda semua :)

Kisah 1: Di dalam kolam

Boy: Teacher, I'm soo scared...
Trainer: Don't be scared lah. Look at that boy, if he can do it, you can do it. Nah, look at that small kid over there, if she can swim, you can too.
Boy: Ok, I'll try...
(dengan nada takut-takut)

Selepas beberapa minit, budak lelaki itu telah berjaya mengapungkan diri dan berenang dengan lancar. Dia terus berenang ke tepi untuk mendapatkan ibunya dan memberikan high-5. saya juga tumpang gembira melihat kejayaan budak itu.

Kisah 2: Di tepi (luar) kolam

Adik: Ayah, adik nak belajar berenang boleh tak? Nak berenang macam boy tu... Pandainya!
(sambil tunding jari kepada budak lelaki yang sedang berenang dengan penuh yakin di bahagian yang lebih dalam)
Ayah: Adik bukannya tahu berenang pun. Kalau tenggelam macam mana?
Adik: Ala, adik nak cuba...

Lepas dengar perbualan ini, terbit rasa simpati terhadap budak perempuan itu kerana hasratnya dihalang. Saya faham perasaan budak itu kerana satu ketika dahulu ada banyak yang ingin saya lakukan tetapi terlalu banyak halangannya.

Pada awalnya, saya merasakan ayahnya berfikiran negetif kerana menjatuhkan semangat anaknya. Tetapi bila difikirkan semula, barangkali untuk belajar berenang bukan sesuatu yang murah dan ada banyak perkara lagi yang lebih mustahak (yang patut dibayar) selain dari kelas renang. Saya harap budak itu akan terus menyimpan asanya dan akan belajar berenang juga satu hari nanti.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah kuasa "cuba" yang ada dalam diri kanak-kanak. Mereka berani mencuba dan dengan hanya sedikit galakan dan pujukan, mereka akan cuba lakukan yang terbaik. Sekiranya gagal, mereka akan bangun dan cuba lagi.

Orang dewasa pula semakin lama hidup, semakin banyak pula alasannya. Entahkan berbohong atau benar-benar menghadapi masalah, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Secara jujurnya saya rasa orang dewasa tidak mahu mencuba kerana tidak mahu berasa malu sekiranya gagal. Bagaimana saya tahu? Sebab saya juga semakin dewasa dan semakin kreatif dalam memberi alasan. Rasa kecewa dengan diri sendiri :(

Orang dewasalah yang bertanggungjawab mengatakan tidak dan jangan kepada mereka yang naif ini. Mengatakan tidak atau jangan bukanlah satu jenayah, tetapi saya rasa orang dewasa mungkin boleh mencari alternatif lain atau menyatakan sebab dengan lebih kreatif supaya tidak memadamkan api semangat mereka.

Jadi, kepada mereka yang ingin mencuba sesuatu (sudah tentu mencuba perkara yang baik-baik sahaja ya), buatlah sebaik mungkin dan sekiranya gagal, cubalah lagi. Janganlah berputus asa.

Selamat mencuba! :)

Comments

Popular Posts