Melewati Negara Thai

Beberapa hari lepas, saya dan keluarga pergi bercuti ke negara jiran yang terletak di bahagian utara Malaysia. Ya, Thailand! Walaupun berjiran, tapi banyak perbezaannya. Untuk membaca entri saya yang lebih santai mengenai Thailand boleh ke blog saya di sini. Terlalu banyak perkara menarik di Thailand, namun begitu, biarlah saya tulis beberapa perkara saya amat terkesan di hati ini.

Senyum:
Orang Thailand sungguh mesra dan murah senyuman. Saya rasa amat senang dengan layanan mereka. Tidak ramai rakyat Thailand pandai berbahasa Inggeris kerana mereka lebih selesa menutur bahasa ibunda. Sebagai pelancong, saya sendiri tertarik unuk mempelajari bahasa mereka.

Secara peribadi, saya kagum negara yang menyanjungi bahasa ibunda berbanding bahasa penjajah. Tapi usah gusar, mereka ramah dan untuk berkomunikasi bersama mereka tidaklah sukar. Ada juga yang boleh berbahasa Melayu.

Idea Market yang berwarna-warni

Pasar Idea:
Di Hadyai, terdapat satu pasar seni yang dinamakan "Idea Market". Di sinilah tempat anak-anak muda mengekspresikan diri melalui seni dan mencurahkan idea kreatif dengan menjual hasil kraftangan yang mereka hasilkan.

Ada yang menjahit, mencorak kasut, menguli tanah liat dan macam-macam lagi. Terbit rasa kagum dengan mereka yang begitu berahi terhadap seni. Penggiat seni di sini akan membentangkan tikar, duduk bersila (ada juga yang membawa bangku sendiri) dan menjual karya mereka.

Kalau di Central Market Malaysia, saya sedikit kesal kerana majoriti penggiat seni di sana hanya melukis potret dan menjual barangan yang berlabel "Made in China". Saya tahu rakyat Malaysia juga kreatif, tetapi penggiat seni di Malaysia lebih cenderung menjual barangan mereka di atas talian. Barangkali sewa tapak untuk berniaga mahal…

Saya dan adik yang tidak sabar ingin menaiki "tut-tut"

"Tut-tut":
Pernah saya melihat satu rancangan realiti di mana salah seorang peserta merasakan menaiki "tut-tut" adalah satu kenderaan yang daif, tapi secara jujurnya saya merasakan bahawa menaiki "tut-tut" adalah pengalaman yang sangat mengujakan. Janganlah anda bandingkan "tut-tut" dengan sistem kenderaan seperti komuter ataupun LRT. "Tut-tut" sama seperti beca, ianya adalah sebahagian daripada identiti ataupun budaya yang mahal terdapat pada satu-satu tempat. Ingat "tut-tut", ingat Thailand.

Pasar Terapung:
Pasar terapung di sini ibarat pasar malam di Malaysia. Apa yang membezakan ialah mereka berniaga di sepanjang sungai dan duduk di dalam sampan. Kegusaran terbesar orang Islam yang melancong kebiasaannya ialah mencari makanan yang halal. Jangan risau, orang Islam di Hadyai ramai. Tidak mungkin anda akan mati kebuluran. Lambang halal yang terdapat di restoran dan di sampan pasar terapung juga.


Pasar terapung yang sangat meriah!

Saya amat tertarik dengan peniaga di sini yang memakai kain batik ketika berniaga. Mereka juga akan menyelitkan bunga dan memakai topi sawah. Adakah ianya satu paksaan tidak saya tahu, tapi sebagai pelancong saya amat tertarik dengan "presentation" mereka.

Tembikar minuman

Anda boleh membeli air yang dihidangkan dalam bekas tembikar yang sangat comel dengan harga 25 baht (lebih kurang dalam RM 2.50, kalau mahu air sahaja 20 baht dan bekas yang diminum perlu dipulangkan). Di tambah dengan penyedut minuman yang diperbuat daripada buluh dan dihiasi dengan sekuntum bunga orkid. Kepada mereka yang tidak tahu, bunga orkid adalah bunga kebangsaan Thailand.

Makanan di sini juga amat cantik dan sedap. Contohnya, semangkuk kuetiau tomyam berharga 25 baht. Anda boleh makan di tempat duduk dan meja yang disediakan di tepi sungai. Cili dan kicap juga disediakan. Sama seperti air tadi, makanan (bersup) dihidangkan dalam bekas tembikar. Mangkuk tembikar juga boleh dijadikan sebagai tanda hati untuk dibawa pulang.

Anggaran harga makanan di pasar terapung antara 20 baht ke atas. Amat berpatutan dan saya ada sedikit rasa tertipu dengan harga makanan di Malaysia. Sebungkus air di pasar malam dijual dengan harga RM2. Ais dan pewarna sahaja lebih, nampak sangat peniaga begini mahu untung cepat dan tidak ikhlas berniaga. Kalaulah ada tembikar sekali, peniaga pasti akan mengambil kesempatan dengan menaikan harganya.

Pada pengamatan saya, mereka bukan sahaja menjual produk dan perkhidmatan semata-mata, mereka turut menyelitkan budaya. Budaya inilah yang saya rasakan amat mahal dan membuatkan saya rasa ingin kembali ke satu-satu tempat. Kesimpulannya, Thailand amat kreatif, kreatif dalam seni, dalam menjual makanan dan perniagaan.

Saya rasa tidak salah andai kita mencontohi perkara baik yang terdapat di negara luar. Malaysia juga kaya dengan budaya. Sekiranya Malaysia lebih mengutamakan kreativiti daripada mengaut keuntungan semata-mata, saya yakin formula yang bukan rahsia ini akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita.

Comments

  1. Tut-tut ialah kenderaan paling lucah, sebab bunyinya tutt-tutt. itulah yang saya cerita pada kawan2 bila pulang dari Hadyai :D

    terus terang, saya sangat suka pasar terapung. cultural...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts