Pemeriksaan Realiti

Ini merupakan satu entri yang penuh emosi dan bersifat peribadi. Maafkan saya kerana barangkali entri kali ini tidak punya isi yang kukuh. Yang ada hanyalah keluh kesah dalam hati yang ingin saya kongsikan.

Baru-baru ini saya mendapat keputusan pemeriksaan realiti yang tidak saya undang. Sedangkan pemeriksaan kesihatan juga jarang-jarang saya lakukan, inikan pula pemeriksaan realiti. Baik atau buruk keputusan pemeriksaan realiti itu bergantung pada cara penerimaan individu. Keputusan yang saya terima ini berada di tengah-tengah, anda baca dan tentukan sendiri.

Begini kisahnya… Disebabkan telah terlalu lama tidak menulis, saya sendiri merasakan bakat menulis saya semakin tumpul. Beberapa bulan yang lepas, saya telah menyertai satu pertandingan yang dianjurkan oleh persatuan pengguna. Dengan penuh yakin, saya menghantar dua penyertaan, yang pertama ialah melukis poster dan satu lagi ialah mengarang esei.

Saya meluangkan masa lebih kurang 3 jam sehari untuk menyiapkan poster itu. Ada kalanya curi tulang juga kerana saya kerap letih lepas pulang dari bertugas sepenuh masa disebelah pagi (oh, ini sangat alasan!). Setelah bertungkus-lumus selama beberapa minggu, akhirnya poster yang indah itu berjaya saya siapkan!

Alhamdulliah. Ini adalah satu pencapaian untuk diri saya sendiri setelah 8 tahun tidak menggunakan berus warna dan cat poster. Walaupun bertugas sebagai penulis skrip, tetapi saya tetap rindukan cat-cat warna dan berus dan bidang grafik yang pernah saya mesrai satu ketika dahulu.

Untuk esei pula, saya membuat research dan banyak mencari artikel. Secara jujurnya, menulis bukanlah sesuatu yang mudah pada saya. Ada orang boleh menulis selancar bernafas (cemburu ni!), tapi saya tidak. Sudah tentu objektif saya adalah untuk menang, tapi saya cuba rendahkan sedikit "expectation" supaya tidak terlalu sedih jika tidak dipilih. Ini adalah penyertaan penulisan pertama yang saya hantar dalam seumur hidup.

Setelah beberapa minggu, saya menerima satu panggilan dari penganjur mengatakan bahawa poster saya itu mendapat tempat kedua. Alangkah gembiranya saya! (Yeah! Still got the moves bebeh!) Tetapi dalam masa yang sama, saya tertanya-tanya bagaimana pula dengan karangan saya?

Untuk menyedapkan hati, saya memberitahu diri sendiri bahawa mungkin itu bukan rezeki saya. Lagipun saya tidak pernah menyertai mana-mana bengkel penulisan secara formal, jadi tidak hairanlah kalau ada yang jauh lebih hebat kan? Saya sendiri tahu untuk menjadi penulis yang hebat perlukan masa dan kematangan. Jadi, tak mengapalah.

Asa saya masih ada. Saya mencuba lagi dalam pertandingan menulis skrip PSA (Pesanan Khidmat Masyarakat) Derma Organ yang dianjurkan oleh FINAS dan beberapa badan kerajaan (kalau tak silap). Selepas beberapa minggu menanti, sepucuk sampul surat sampai di rumah saya (yang pada mulanya saya sangkakan ianya adalah penyata PTPTN).

Apabila membuka sampul surat tersebut, di dalamnya terdapat sehelai sijil penyertaan dari FINAS.

Itu sahaja?

Ya, itu sahaja…

Tanpa saya sedari, ada awan hitam membumbung di atas kepala dan mendung menjelma.

Segala anasir negatif datang dan saya rasa penulisan barangkali bukan bidang yang serasi buat saya. Huhuhu :((

Comments

Popular Posts