Lagu Rakyat yang Diubah

Pada satu petang, saya menumpang kereta sahabat saya Aeffa pulang ke rumah. Bila sampai sahaja dimuka pintu kami berdua serentak memberi salam. Oleh kerana brainwave manusia itu ajaib dan adakalanya punya bluetooth connection, kami serentak menyanyikan lagu rakyat. (Hebat sungguh otak manusia yang diciptakan Allah s. w. t. Subhanallah!)

Assalamualaikom! Kom apa?
Kombat! Bat apa?
Batman! Man apa?
Mentol! Tol apa?
Tolak! Lak apa?
Laksa! Sa apa?
Sepak! Pak apa?
Pakcik! Cik apa?
Cicak! Cak apa?
Cawan! Wan apa?
One, two, three, four, five six, seven, eight, nine, ten!
Ten apa? Ten, ten, ten!

Kami serentak ketawa! Kepada mereka yang tidak tahu atau tidak faham, boleh tonton video di bawah.



Saya kerap terfikir bagaimana sesuatu maklumat itu disebarkan pada zaman dahulu ketika internet masih belum wujud. Lagi bertambah musykil apabila kanak-kanak bermain, mereka menyanyikan lagu yang sama dan permainan yang sama. Oleh itu, mari kita main sep-sep sambil nyanyi sama-sama. Kepada mereka yang tidak hafal, boleh tengok lirik di bawah.

Assalamualaikom! Kom apa?
Kombat! Bat apa?
Batman! Man apa?
Mentol! Tol apa?
Tolak! Lak apa?
Laksa! Sa apa?
Sepak! Pak apa?
Pakcik! Cik apa?
Cicak! Cak apa?
Cawan! Wan apa?
One, two, three, four, five six, seven, eight, nine, ten!
Ten apa? Tembak!
Bak apa? Bak duit!
Duit apa? Duit Jepun!
Pun apa? Pondan!
Dan apa? Dancing!
Sing apa? Singa! Aum!
* Ada juga yang habiskan lagu ini begini.
Sing apa? Singer, menawan keluarga bahagia...

Lagu di atas merupakan salah sebuah lagu rakyat yang kerap saya nyanyikan di zaman kanak-kanak. Jika diperhatikan, lagu ini sangat naif. Lepas satu perkataan, akan ada soalan dan ianya berterusan. Ada yang merasakan lagu bersoal jawab ini berbunyi kurang arif, kerana jawapannya tidak relevan. Tapi saya berpendapat bahawa sifat kanak-kanak itu semula jadinya memang suka dan tidak malu bertanya. Ianya semacam sambungan perkataan yang dikeluarkan secara spontan dan kemudiannya digubah menjadi lagu. Memang kreatif. Mari kita kaji intipati lagu ini:

Soalan kedua: Bat apa? Batman? Saya tertanya-tanya pada tahun bilakah adiwira ini wujud? Secara tidak langsung, lagu rakyat ini telah mempopularkan Batman! Batman harus berterima kasih kepada pencipta lagu ini. Mungkin juga pencipta lagu ini amat mengagumi Batman. Siapa tahu kan?

Soalan ketiga belas: Duit apa? Duit Jepun! Mengapa duit Jepun? Mungkin pada zaman itu mata wang Jepun masih lagi digunakan. Jika benar, lagu ini sudah amat tua dan sangat bersejarah. Cuba bayangkan kanak-kanak pada zaman itu menyanyikan lagu ini sebagai satu escapisme dari rasa kesusahan. Hebat sungguh atuk nenek kita :)

Soalan keempat belas: Pun apa? Pondan! Hahaha! Ini sangat kelakar! Nampaknya budak-budak juga tahu apa itu pondan. Adoi...

Soalan terakhir: 1) Sing apa? Singa! Aum! Barangkali pencipta lagu ini sudah kehabisan idea. Mungkin juga pencipta lagu cuba memberitahu, kalau terlalu suka bertanya akan dibaham singa atau ditimpa kesusahan. Sungguh dalam metafora lagu ini.

2) Sing apa? Singer, menawan keluarga bahagia. Pada mereka yang tidak tahu, Singer merupakan jenama perabot yang amat terkenal satu ketika dahulu. Saya pernah belajar menggunakan mesin jahit manual Singer dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup. Seingat saya, satu ketika dahulu ada rancangan televisyen yang ditaja oleh Singer. Di akhir rancangan ada lagunya,

Singer, menawan keluarga bahagia...

Kepada mereka yang mengaji bidang advertising, ini merupakan salah satu contoh copywriting yang amat berjaya. Ini membuktikan betapa viral dan berkesannya satu copywriting itu. Kanak-kanak pun boleh ingat.

Dari segi penggunaan bahasa pula, kalau disebut dengan teliti contohnya

Tolak! Lak apa?
Laksa! Sa apa?
Sepak! Pak apa?

Kalau sebutan baku laksa tapi dalam lagu ini berbunyi "lakse". Saya tiada isu tentang ini kerana kanak-kanak belajar menyebut terlebih dahulu sebelum tahu hukum-hakam bahasa yang sebetulnya. Mereka tidak kisah pelat dan selesa nyanyi melalui apa yang mereka dengari. Biarlah salah nyanyi, janji hati riang.

Lagu ini juga terdapat sedikit penggunaan bahasa Inggeris. Hanyalah kiraan mudah satu hingga sepuluh dalam bahasa Inggeris, satu pendedahan mudah dan bagus. Penggunaan kata kerja iaitu dancing juga tiada salahnya. Andai lagu ini digam oleh sesetengah pihak kerana penggunaan bahasa rojak, saya rasa pihak itu (yang semestinya orang dewasa) barangkali tidak punya zaman kanak-kanak yang indah. Saya turut bersimpati.

Bagi saya, lagu ini sangat sempurna walaupun penghujungnya tergantung. Saya harap lagu ini akan berkekalan dan terus dinyanyikan oleh generasi akan datang. Hebat sungguh lagu rakyat ini kan? Rasa bangga tiba-tiba.

Jadi, apakah lagu rakyat kegemaran anda? Kalau ada, bolehlah kongsi dan nyanyi bersama-sama :)

Comments

Post a Comment

Popular Posts